LONDON 26 Okt. – Pemain Chelsea, Ruben Loftus-Cheek menjadi wira buat pasukannya apabila hatriknya membantu Blues meraih kemenangan 3-1 menewaskan kelab dari Belarus, BATE dalam aksi Kumpulan L Liga Europa di Stamford Bridge, awal pagi tadi.
Ini juga adalah kali kedua Loftus-Cheek berada dalam kesebelasan utama skuad bimbingan Maurizio Sarri dan aksi positif dipamerkan pemain kebangsaan England berkenaan bakal meyakinkan pengurus baharu Chelsea itu.
Kata Loftus-Cheek, dia amat puas selepas meledak tiga gol buat Chelsea dalam perlawanan tersebut terutama selepas lama tidak melakukan hatrik.
“Saya rasa amat seronok sekali kerana ia hatrik pertama saya sejak sekian lama, malah sejak bermain dengan pasukan remaja.
“Ia satu perasaan yang amat bagus dan selepas ini saya akan menandatangani bola itu serta meletakkannya dalam kotak kaca,” kata Loftus-Cheek.
Tiga gol Loftus-Cheek hadir pada minit kedua, minit kelapan dan pada minit ke-53 manakala gol tunggal BATE diperoleh menerusi Aleksey Rios pada minit ke-79. – AGENSI









