KUALA LUMPUR 26 Okt. – Petroliam Nasional Berhad (Petronas) menggesa semua pihak berkepentingan dalam industri gas asli cecair (LNG) untuk mengambil tindakan konkrit bagi menyokong LNG dan peranannya dalam tenaga campuran global.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata, usaha berkenaan bertujuan untuk mewujudkan ekosistem pasaran yang mampan.
Menurut beliau, gas akan memainkan peranan penting dalam tenaga campuran selain penting untuk memenuhi permintaan pada masa hadapan.
“Memastikan gas boleh didapati di pelbagai kawasan dan geografi bukan sahaja baik untuk perniagaan, malah ia menjadi tanggungjawab moral dalam memastikan persekitaran yang bersih untuk generasi akan datang,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian pada Persidangan Pengguna-Pengeluar LNG 2018 yang berlangsung di Nagoya, Jepun baru-baru ini.
Tegas Wan Zulkiflee, advokasi gas perlu dijadikan fokus oleh industri dengan bekerjasama bagi memastikan penggunaan LNG diterima sepenuhnya.
Katanya, para pengeluar dan pembeli perlu berbincang berhubung penawaran dan permintaan dalam jangka masa pendek dan panjang bagi memastikan keselamatan serta kestabilan pasaran di samping meningkatkan pelaburan.
Dalam pada itu, Wan Zulkiflee berkata, pelabur, pembuat dasar, pengawal selia, pembiaya dan semua yang terlibat perlu memupuk pemahaman yang mendalam dan menyeluruh kepada industri untuk membangun dan melaksanakan rangka kerja yang betul bagi memacu penggunaan LNG.
“Pemerhatian kami terhadap beberapa pasaran baharu muncul mendapati kebergantungan tunggal terhadap pasaran bebas dan kurangnya campur tangan kerajaan telah menghalang pembangunan pasaran gas.
“Keadaan sebaliknya berlaku di Pakistan dan Bangladesh di mana LNG semakin berkembang kerana mendapat sokongan daripada kerajaan yang membantu memudahkan pelaburan,” katanya.










