Lion Air bingung punca nahas - Utusan Malaysia

Lion Air bingung punca nahas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA 29 Okt. – “Kami juga kebingungan tentang punca (na­has), kerana pesawat itu ada­­lah pesawat baharu.”

Demikian jelas Ketua Eksekutif Lion Air Group, Edward Si­rait mengenai kejadian pesawat Lion Air JT610, yang terhempas di perairan Karawang dekat sini pagi ini.

Dalam satu kenyataan, sya­rikat penerbangan milik per­sendirian itu menjelaskan, pesawat itu yang baru beroperasi Ogos lalu adalah selamat untuk digunakan dengan juruterbang dan pembantu juruterbang mempunyai pengalaman 11,000 jam penerbangan.

Namun jelas Sirait, pesawat itu pernah berdepan masalah teknikal dalam penerbangan sebelum ini tetapi telah diperbaiki mengikut prosedur kese­lamatan.

“Pesawat itu sebelum ini terbang dari Denpasar ke Jakarta. Ada laporan isu teknikal tetapi telah diselesaikan mengikut prosedur,” katanya sambil me­nambah Lion Group tidak me­rancang untuk mengenakan ‘la­rangan berlepas’ terhadap se­mua pesawat Boeing 737 Max 8 yang dimiliki syarikat itu.

Kejadian itu adalah yang pertama melibatkan pesawat Boeing 737 Max, versi terkini yang menjimatkan penggunaan bahan api.

Turut sama melahirkan rasa bingung dengan kejadian tersebut adalah Ketua Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan In­donesia, Soerjanto Tjahjono yang masih belum mengetahui punca nahas.

“Pesawat itu masih baharu. Kami akan mengkaji semula, tetapi yang paling penting adalah kotak hitam,” jelasnya.

Beberapa pakar keselamatan memaklumkan, hampir keba­nyakan kemalangan pesawat adalah disebabkan oleh kombinasi faktor dan jarang sekali mempunyai satu punca yang boleh dikenal pasti.

“Cuaca pada ketika itu adalah baik,” kata Soerjanto.

Pengarah Urusan Asia Flight­­Global, Greg Waldron berkata, nahas terbaharu itu merupakan bencana kedua terburuk Indonesia selepas kemalangan melibatkan Garuda Indonesia A300 yang terhempas di Medan dan mengorbankan 214 nyawa pada 1997.

Jun lalu, Lion merupakan antara tiga syarikat penerbangan utama di Indonesia yang menunjukkan peningkatan da­ri segi keselamatan kepada tujuh bintang oleh agensi pe­na­rafan glo­bal, AirlineRatings.com.

Namun, syarikat itu ber­de­pan dengan beberapa insiden termasuk kemalangan maut pa­da 2004.

Tahun lalu, sayap pesawat Boeing milik syarikat itu bergesel dengan Wings Air ketika mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kualanamu walaupun tiada kemalangan atau kecederaan dilaporkan.

Pada Mei 2016, kejadian sa­ma berlaku melibatkan dua pe­sawat Lion Air di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta manakala sebulan sebelumnya pesawat Batik Air, sebahagian daripada pesawat milik Lion Group, berlanggar dengan pesawat TransNusa.

Sekitar 2013, sebuah pesa­wat Lion Air terbabas ke laut ketika mendarat di Lapangan Terbang Ngurah Rai di Bali, beberapa orang cedera tetapi tiada yang terkorban.

Bagaimanapun pada 2004, berpuluh-puluh penumpang ter­bunuh apabila pesawat Lion Air dari Jakarta tergelincir di Lapangan Terbang Adi Sumarno, Solo, Jawa Tengah. – REUTERS/AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN