Lima termasuk seorang wanita ditahan terlibat keganasan - Utusan Malaysia

Lima termasuk seorang wanita ditahan terlibat keganasan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 31 Okt. – Lima individu termasuk seorang wanita yang disyaki terlibat dengan kumpulan pengganas ditahan pada 13 Oktober hingga 26 Oktober lalu.

Kesemua suspek ditahan Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam operasi di ibu negara, Selangor, Perak dan Sabah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, lima yang ditahan terdiri daripada seorang lelaki dan wanita warga tempatan serta tiga lelaki masing-masing warga Mesir, Pakistan dan sebuah negara di Asia Barat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Lelaki warga Mesir berusia 50 tahun dan ditahan di Selangor pada 13 Oktober lalu.

“Suspek kedua pula berusia 31 tahun, berasal dari Asia Barat dan ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 20 Oktober lalu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Menurut Mohamad Fuzi, lelaki warga Pakistan berusia 31 tahun pula ditahan pada 25 Oktober di Sitiawan, Perak.

Jelasnya, suspek wanita warga tempatan berusia 32 tahun pula ditahan pada 25 Oktober lalu di Gombak Selangor.

“Suspek kelima juga seorang warga tempatan berusia 40 tahun ditahan keesokan harinya di Kota Kinabalu, Sabah,” ujarnya.

Tambahnya, empat suspek ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Bab VIA – Kesalahan Berkaitan dengan Keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747) manakala seorang lagi suspek ditangkap di bawah Akta Imigresen 1959/1963. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini