Lima lanun bersaudara kena dakwa - Utusan Malaysia

Lima lanun bersaudara kena dakwa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN – Lima lanun bersaudara tidak mengaku salah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan melakukan rompakan bersenjata api di perairan Rompin pada 24 Oktober lalu.

Semua tertuduh terdiri daripada tiga beradik lelaki iaitu seorang guru, Muhammad Aminruddin Kamal Bashah, 36, bersama adiknya, Muhammad Nor Adnan Shah, 29, yang merupakan kakitangan sebuah badan berkanun.

Dituduh bersama dalam pertuduhan itu ialah abang mereka, Muhmmad Rezal, 39, yang merupakan pegawai Maritim Malaysia (APMM).

Turut dituduh bersama tiga beradik itu ialah dua beranak, Muhammad Shuhaimi Abdullah, 20, dan bapanya, Abdullah Saat, 56, yang merupakan nelayan pantai.

Menurut kertas pertuduhan, mereka berlima dituduh secara bersama melakukan rompakan bersenjata sepucuk pistol untuk melarikan satu tan sotong di atas sebuah bot nelayan di perairan Rompin pada pukul 3.14 pagi, 24 Oktober lalu.

Pertuduhan tersebut dibacakan ke atas mereka mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Akhbar pada 27 Oktober lalu melaporkan lima lelaki ditahan selepas disyaki terlibat kes rompakan bersenjatakan pistol dan melarikan satu tan sotong dari atas sebuah bot nelayan yang dikendalikan seorang warganegara Vietnam di perairan Rompin.

Sejurus pertuduhan bagi kes tersebut dibacakan, Timbalan Pendakwa Raya, Farahah Mohd. Nazari menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

Peguam mewakili kelima-lima tertuduh, Anwar Ab. Raof serta Mohd. Faizal Hiqram Azmi bagaimanapun memohon supaya mahkamah menetapkan kadar jaminan lebih rendah.

Sejurus mendengar pertuduhan serta rayuan peguam, Hakim Siti Aminah Ghazali menetapkan nilai jaminan RM8,000 ke atas setiap tertuduh dengan seorang penjamin dan 5 Disember sebagai tarikh sebutan semula kes. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN