KUALA LUMPUR – Lima entiti perumahan telah dikenal pasti untuk ditempatkan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi menyelia dan menyelaras pembangunan perumahan mampu milik di negara ini.
Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, entiti terbabit ialah Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA), Program Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M), UDA Holdings Bhd., Syarikat Perumahan Negara Bhd. (SPNB) dan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).
“Rancangan untuk meletakkan agensi terbabit di bawah kementerian saya akan dimasukkan dalam Dasar Perumahan Negara yang dijangka dilancarkan Disember ini.
“Ini akan membolehkan pendekatan bersepadu selain mengelakkan pertindihan projek perumahan mampu milik. Ia juga akan memastikan pendekatan bersesuaian untuk pemaju swasta menerusi garis panduan dan penglibatan yang tepat berhubung perumahan mampu milik,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Zuraida ditemui selepas menyertai Dialog Terbuka Industri-Kerajaan dengan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan anjuran Institut Strategi dan Kepimpinan Asia. – Bernama











