Lif rosak jejas rutin harian penduduk - Utusan Malaysia

Lif rosak jejas rutin harian penduduk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AMPANG JAYA 28 Okt. – KIRA-KIRA 3,000 penghuni Flat Taman Industri, Lembah Jaya di sini merayu pihak berwajib segera menyelesaikan isu kerosakan lif di perumahan mereka sejak setahun lalu.

Penduduk mendakwa kini mereka terpaksa bergantung kepada sebuah lif sahaja untuk melakukan urusan harian.

Ini kerana dua daripada tiga lif di perumahan itu rosak dan tidak dibaik pulih sehingga hari ini.

Lebih menimbulkan kebimbangan satu-satunya lif yang berfungsi diragui status keselamatannya kerana terdapat bunyi dan gegaran setiap kali mereka menggunakan kemudahan itu.

Tinjauan Utusan Ma­laysia di perumahan 21 tingkat itu baru-baru ini mendapati, penduduk terpaksa beratur panjang menunggu giliran menggunakan lif sedia ada antara 10 hingga 15 minit untuk naik ke rumah masing-masing di tingkat atas.

Berdasarkan pemerhatian, ada antara penghuni terpaksa menggunakan tangga kerana tidak sanggup menunggu lama.

Sementara itu, Pe­ngerusi Persatuan Pen­duduk flat ber­kenaan, Rizman Omar berkata, masalah itu telah banyak kali di­kemukakan kepada pihak bertanggungjawab, namun sehingga ke hari ini tiada sebarang penyelesaian diambil.

Menurutnya, sebelum ini Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah melaksanakan kerja-kerja baik pulih jalan raya, sistem pencegahan kebakaran dan tangki air di flat berkenaan.

“Penduduk tidak pasti bila pula kerja-kerja baik pulih lif di sini akan dilaksanakan. Kami dimaklumkan ia bergantung kepada bajet tahun hadapan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Menceritakan peristiwa pa­ling tidak dilupakan pada tahun lalu apabila berlaku kebakaran di sebuah kediaman tingkat 12 ketika ketiga-tiga lif di situ tidak berfungsi.

“Baru-baru ini, anggota bomba terpaksa dipanggil untuk membantu seorang wa­nita yang mempunyai masalah obesiti turun menggunakan tangga daripada tingkat 21 ekoran lif rosak.

“Saya berharap isu ini dapat diselesaikan segera demi ke­selamatan dan keselesaan penduduk,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN