KESABARAN pemain golf kebangsaan, Ben Leong membuahkan hasil apabila berjaya melakukan empat di bawah par 68 pukulan untuk berada lima lubang di belakang pendahulu pusingan pertama Kejohanan CIMB Classic 2018, Bronson Burgoon di TPC, Kuala Lumpur semalam.
Pemain yang memulakan aksi pada lubang kesembilan itu mengakui puas dengan pengakhiran permainannya biarpun memulakan aksi dengan catatan bogey di lubang ke-10 dan double bogey di lubang ke-12.
Nekad untuk kekal positif, pemain berusia 32 tahun tersebut berupaya menyelamatkan permainannya apabila menghasilkan lapan birdie dan hanya satu kesilapan bogey pada akhir permainannya.
“Beberapa hari lalu, saya tekad dalam diri untuk tidak terburu-buru dan sentiasa bersabar ketika bermain. Saya hanya fokus satu pukulan pada satu masa dan saya pasti boleh perbaiki permainan.
“Ada kata-kata hikmah yang menjelaskan bahawa sesuatu perkara itu bukan bergantung kepada permulaan, namun pengakhiran. Justeru, saya sangat bangga dengan diri sendiri hari ini (semalam),” katanya.
Sementara itu, Leong menafikan dia beraksi dengan agresif kerana didakwa sudah memahami selok-belok lapangan yang sudah dinaik taraf itu.
“Saya cuba jadikan permainan tampak mudah. Saya sudah bermain di sini dan itu banyak membantu saya sebenarnya. Rumputnya berbeza, namun aspek lain masih sama.
“Saya tidak bermain agresif dan saya juga tidak meletakkan sebarang jangkaan sepanjang minggu ini. Saya hanya lakukan yang terbaik dan lihat hasilnya nanti,” ujarnya.
Dalam pada itu, nasib tidak menyebelahi seorang lagi pemain kebangsaan, Kim Leun Kwang setelah melakukan empat di atas par 76 pukulan untuk berada di kedudukan kedua terendah dalam keseluruhan carta pemain.











