JELEBU – Seorang lelaki Orang Asli patah tulang rusuk kiri selepas jatuh dari pokok ketika mengambil petai berhampiran Rumah Rakyat Simpang Kerangai dekat sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.40 petang itu, mangsa, Ahmad Firdaus Abdullah, 38, mengalami kecederaan tersebut selepas terjatuh dari ketinggian lebih kurang 30 meter.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pertang, Mohd. Afandi Mansor berkata, seramai 10 anggota bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pukul 1.43 petang.
“Mangsa berusia 38 tahun jatuh dari pokok petai dengan ketinggian 30 meter dan kemudian jatuh pula ke dalam gaung sedalam 100 meter.
“Lelaki itu diselamatkan oleh anggota bomba dan dia dihantar menaiki ambulan ke Hospital Jelebu untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini. – K! ONLINE










