Lelaki Nepal maut dipukul rakan senegara - Utusan Malaysia

Lelaki Nepal maut dipukul rakan senegara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANGKAK – Seorang lelaki Nepal maut selepas terlibat dalam pergaduhan dengan rakan senegaranya di sebuah kilang perabot di Kesang, Tangkak di sini tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Mohad Idris Samsuri berkata, polis menerima maklumat pada 1.05 pagi bahawa dua lelaki Nepal dipercayai mabuk bergaduh dan siasatan awal mendapati insiden itu berpunca daripada perselisihan faham dan tindakan cabar-mencabar.

“Polis yang sampai di lokasi kejadian mendapati mangsa telah meninggal dunia dan berdarah di bahagian kepala akibat tindakan suspek yang dipercayai memukul mangsa dengan menggunakan kayu di bahagian kepala dan muka.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Tangkak dan akan dibedah siasat oleh pakar forensik Hospital Melaka, pagi esok,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya polis berjaya menahan suspek yang cuba melarikan diri dan ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan selain turut merampas sekeping papan panjang 56cm, lebar 25cm dan tebal 3cm
daripada lelaki berusia 22 tahun itu yang dipercayai digunakan dalam pergaduhan itu.

Beliau berkata berdasarkan siasatan, suspek dan mangsa berusia 25 tahun itu merupakan rakan sebilik dan bekerja sebagai operator pengeluaran di kilang terbabit. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN