TAPAH 21 Okt. – Seorang lelaki maut setelah motosikal yang ditunggangnya merempuh sebuah kereta dari arah bertentangan di Kilometer 72, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur di sini hari ini.
Nahas pada pukul 10.30 pagi itu menyebabkan Chen Kam Wing, 55, meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kereta jenis Perodua Alza berusia 65 tahun tidak cedera.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kemalangan berlaku ketika kereta Perodua Alza itu dalam perjalanan dari arah Sungkai menghala ke Bidor.
Katanya, motosikal jenis Kawasaki yang ditunggang mangsa telah masuk ke laluan bertentangan dan merempuh kereta berkenaan.
“Rempuhan itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Mayatnya dibawa ke Hospital Tapah untuk bedah siasat dan siasatan kes itu dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN ONLINE









