TAIPING – Seorang pekerja swasta maut selepas kereta dipandunya melanggar belakang sebuah treler yang diparkir di tepi jalan sebelum kedua-dua kenderaan tersebut terbakar di Kilometer 218 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 1.50 petang itu, mangsa, Toh Kar How, 27, meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Taib berkata, siasatan awal mendapati treler yang membawa muatan dedak ayam dipandu lelaki berusia 29 tahun itu diparkir di lorong kecemasan kerana mengalami kerosakan.

“Kereta jenis Proton Saga yang dipandu mangsa telah melanggar bahagian belakang treler tersebut ketika tiba di tempat kejadian.
“Akibat pelanggaran tersebut, mangsa mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.
Tambah Mohamad, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Taiping untuk proses bedah siasat.
“Seorang wanita berusia 30 tahun yang merupakan penumpang kereta mangsa pula mengalami kecederaan ringan manakala pemandu treler pula tidak mengalami sebarang keceraan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Taiping, Rafeel Hairul Richard berkata, kesemua mangsa yang terlibat telah dikeluarkan orang awam sebelum kedua-dua kenderaan tersebut terbakar.
“Proton Saga dipandu mangsa mengalami kemusnahan 90 peratus manakala treler tersebut musnah 20 peratus dalam kemalangan itu,” katanya.










