Lelaki Filipina terlibat dadah dicekup polis - Utusan Malaysia

Lelaki Filipina terlibat dadah dicekup polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENAMPANG – Seorang lelaki warganegara asing dipercayai penghantar ‘runner’ bekalan dadah di sekitar daerah ini dan Kota Kinabalu tumpas dalam serbuan di Bundusan di sini baru-baru ini.

Hasil risikan polis, suspek yang berusia dalam lingkungan 20-an ditahan bersama sepeket dadah jenis syabu seberat 50.5 gram kira-kira pukul 1 petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd. Haris Ibrahim berkata, hasil siasatan awal mendapati suspek warga Filipina menjadi ‘runner’ khusus di daerah Penampang sejak setahun yang lalu.

“Hasil risikan pihak polis berjaya menumpaskan pergerakanya yang dipercayai aktif melakukan penghantaran bekalan dadah di sekitar Penampang.

“Selain Penampang, suspek turut menghantar bekalan dadah di Kota Kinabalu berdasarkan permintaan. Tangkapan terhadap suspek kami menemui sepeket syabu seberat 50.5 gram bernilai lebih RM7,000,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Haris berkata, pemeriksaan lanjut terhadap suspek mendapati lelaki itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

“Ujian air kencing juga mendapati suspek negatif dadah,” jelasnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam perkembangan berkaitan, sebanyak 31 kes melibatkan 34 tangkapan berkaitan kesalahan bekalan dadah jenis syabu tumpas dalam tempoh antara Januari lalu hingga Oktober ini.

Kesemua tangkapan tersebut melibatkan rampasan kira-kira 12 kilogram (kg) syabu yang bernilai lebih RM64,000 di sekitar daerah ini.

Menurut Mohd. Haris, jumlah rampasan tersebut merupakan penanda aras komitmen pasukan polis membanteras dadah di sekitar Penampang.

“Dalam tempoh yang sama pada tahun lalu hanya 405.5 gram dadah jenis syabu yang dirampas,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN