Lelaki ditemui rentung di ruang tamu rumah - Utusan Malaysia

Lelaki ditemui rentung di ruang tamu rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU GAJAH – Seorang lelaki ditemui rentung dalam kebakaran melibatkan dua buah rumah teres di Taman Pusing Baru di sini semalam.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Batu Gajah, Jamaluddin Mat Yusop berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 8.56 malam sebelum sepasukan 15 anggota bergegas ke lokasi kejadian.

Jelasnya, sewaktu tiba di lokasi, terdapat kebakaran di bahagian ruang tamu dua buah rumah teres kelas A dan operasi pemadaman api dijalankan.

“Ketika operasi pemadaman api dijalankan, anggota menjumpai mayat seorang lelaki yang sudah rentung di ruang tamu di salah sebuah rumah.

“Identiti mangsa disahkan sebagai Chong Sui Qian berusia 37 tahun dan dipercayai tinggal di salah sebuah rumah yang terlibat dalam kebakaran,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.

kebakaran rentung
Kebakaran turut melibatkan sebuah kereta jenis Proton Wira dan sebuah motosikal jenis Honda Wave.

 

Menurut Jamaluddin, dalam kebakaran itu, sebuah rumah terbakar kira-kira lima peratus manakala sebuah lagi terbakar sebanyak 50 peratus.

Jelasnya, kebakaran itu turut melibatkan sebuah kereta jenis Proton Wira yang terbakar 10 peratus dan sebuah motosikal jenis Honda Wave terbakar lima peratus.

“Anggota bomba telah membuat pemadaman dengan menggunakan dua aliran air dari pili bomba sehingga kebakaran itu berjaya dipadam sepenuhnya,” katanya.

Tambahnya, operasi pemadaman kebakaran di dua buah rumah itu tamat kira-kira pukul 12.36 malam tadi. – K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN