BUKIT MERTAJAM 31 Okt. – Seorang pekerja kontrak warganegara Indonesia ditahan kerana mencuri sebuah kompresor pendingin hawa bernilai RM500 dari sebuah rumah di Taman Pelangi dekat Bukit Tengah, di sini semalam.
Kejadian itu disedari pemiliknya sendiri pada pukul 4.30 petang selepas dimaklumkan oleh jirannya terdapat seorang lelaki sedang membuka kompresor dan dia yang cuba menahan lelaki terbabit diacukan sebilah pisau.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, pemilik rumah yang merupakan pemandu lori berusia 30 tahun akhirnya berjaya menahan suspek yang berusia 29 tahun sebelum menyerahkannya kepada polis.
“Polis kemudiannya menangkap suspek serta merampas beberapa peralatan yang digunakan untuk mencuri itu seperti playar dan spanar serta pisau kecil yang digunakan untuk menyerang tuan rumah.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan suspke kini ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










