PULAU PINANG 24 Okt. – Seorang lelaki cedera pada bahagian kaki selepas terkena tembakan selepas terbabit dalam pertengkaran sewaktu menuntut hutang daripada sekumpulan lelaki.
Menurut sumber, dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam tadi, mangsa pergi ke sebuah premis di Bandar Baru Air Itam di sini, untuk menuntut wang sebanyak RM43,000.
Bagaimanapun, katanya, suspek enggan membuat bayaran menyebabkan berlaku pertengkaran.
“Mangsa kemudian mengugut suspek untuk membawa laporan polis namun salah seorang daripada empat suspek kemudian mengeluarkan pistol dan melepaskan tembakan pada bahagian lantai dan terkena kaki kanan mangsa,” katanya kepada Utusan Online, di sini hari ini.
Katanya, suspek kemudian melarikan diri manakala mangsa dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP).
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang mengesahkan kejadian dan memaklumkan, polis kini sedang giat memburu kesemua suspek. – UTUSAN ONLINE











