LONDON 28 Okt. – Sadio Mane menjaringkan dua gol dan Mohamed Salah pula terus mempamerkan kebangkitan prestasi sewaktu membantu Liverpool membenam Cardiff City 4-1 untuk melonjak ke kedudukan teratas Liga Perdana Inggeris di Anfield, semalam.
Mane meledakkan dua gol cantik dalam babak kedua permainan, sementara Salah menjawab segala kritikan ekoran kemarau jaringan yang dialaminya dengan empat gol dalam tiga perlawanan serta dua bantuan.
Xherdan Shaqiri turut menyumbat gol buat tuan rumah, manakala Callum Paterson menjaringkan gol sagu hati untuk Cardiff yang masih kekal di kedudukan ke-17 dengan lima mata daripada lima perlawanan pembukaan.
Liverpool, yang masih belum tewas dan meraih lapan kemenangan daripada 10 perlawanan liga kini mengumpul 26 mata, tiga mata di depan juara bertahan, Manchester City yang akan kembali merampas kedudukan teratas liga jika mereka menewaskan pasukan di tangga kelima, Tottenham Hotspur di Wembley, Selasa ini (awal pagi waktu Malaysia).
“Gembira dengan keputusan dan persembahan yang dipamerkan pasukan. Perlawanan agak sengit pada babak kedua, tetapi pada hujung permainan kami berjaya menguasai aksi dengan melipat ganda asakan dan dua gol yang saya jaringkan menjadikan pertemuan itu lebih mudah.
“Saya sangat gembira dapat menjaringkan gol, tetapi apa yang paling penting ialah tiga mata penuh,” kata Mane kepada BBC.
Sementara itu, dalam perlawanan lain, Bournemouth menewaskan Fulham 3-0, manakala Leicester City bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat kedudukan menjadi 1-1 menentang West Ham United yang terpaksa beraksi dengan 10 pemain.
Watford pula menundukkan Huddersfield Town 3-0, sementara Brighton & Hove Albion mengalahkan Wolverhampton Wanderers 1-0 dan Southampton menentang Newcastle United berkesudahan seri tanpa jaringan. – REUTERS










