KUALA LUMPUR 29 Okt. – Keputusan kerajaan meneruskan kerja-kerja bawah tanah bagi projek laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (MRT2) dengan kos yang lebih rendah adalah lebih baik berbanding menamatkan kontrak tersebut.
Konsortium MMC-Gamuda merupakan kontraktor utama untuk kerja-kerja terowong MRT2 yang memperoleh kontrak berkenaan pada 2016.
Menurut MIDF Research, walaupun kos tersebut mungkin memberi kesan dari segi jumlah pendapatan marginal tetapi pengorbanan yang dibuat Gamuda dalam margin keuntungan membolehkan syarikat tersebut menguruskan risiko sedia ada.
“Pengurangan yang ditawarkan oleh MMC-Gamuda (menerusi syarikat kerjasama, MMC-Gamuda KVMRT (T) Sdn. Bhd.) bermakna sumbangan jumlah pendapatan kemungkinan adalah marginal apabila siap kelak sebagai hasil daripada margin yang telah dikurangkan.
“Dengan semakan semula itu, kami menjangkakan jumlah konservatif sebanyak RM49.2 juta daripada kontrak bawah tanah berdasarkan anggaran keuntungan tahunan Gamuda. Ini mengambil kira risiko pelarasan margin dan tarikh akhir yang dilanjutkan,” katanya dalam nota kajian di sini hari ini.
Jumaat lalu, Kementerian Kewangan mengumumkan projek MRT2 akan diteruskan oleh MMC-Gamuda selepas syarikat itu bersetuju memberi potongan kos yang lebih besar.
Sebelum ini, MMC-Gamuda bersetuju memberi potongan kos sebanyak RM5.22 bilion untuk kerja-kerja atas tanah yang diterima oleh kementerian tetapi dengan tawaran potongan sebanyak RM2.13 bilion untuk kerja-kerja bawah tanah.
Bagaimanapun, selepas rundingan kali terakhir dibuat, syarikat tersebut bersetuju menambah potongan kos bagi kerja bawah tanah daripada RM2.13 bilion kepada RM3.6 bilion.
Ini bermakna kos pembinaan (tidak termasuk kos faedah, kos pengambilan tanah dan kos-kos lain) MRT2 berjaya dikurangkan sebanyak RM8.82 bilion daripada RM39.35 bilion kepada RM30.53 bilion.
Bilangan stesen atas tanah MRT2 terus dikekalkan, kecuali dua buah stesen bawah tanah iaitu Bandar Malaysia (Utara) dan Bandar Malaysia (Selatan) akan ditangguhkan. Jumlah stesen sekarang ialah 33 stesen berbanding 35 stesen dalam pelan asal.
Sementara itu, Penganalisis Affin Hwang Capital, Loong Chee Wei berkata, dengan kekal sebagai kontraktor turnkey untuk projek tersebut dan menyelesaikan ketidaksetujuan sebelumnya dengan kerajaan baharu dengan baik, Gamuda berupaya mengekalkan kelebihannya untuk bersaing dalam projek MRT akan datang di Malaysia, contohnya MRT3.
“Bagaimanapun, kami menjangkakan 15 peratus margin keuntungan sebelum cukai Gamuda bagi kontrak ini akan berkurangan antara lima hingga enam peratus.
“Kami menganggarkan bahagian Gamuda sebanyak 50 peratus dalam baki kerja-kerja kontrak bawah tanah ini ialah RM3.7 bilion berikutan semakan semula nilai kontrak. Nilai projek sedia ada berjumlah RM8.8 bilion akan mengekalkan aktiviti pembinaannya sehingga pertengahan 2022,” katanya.










