IPOH – Seramai 60,878 anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Perak hari ini mengundi secara serentak di 24 cabang di seluruh negeri itu.
Semua pusat pengundian dibuka serentak tepat pukul 9 pagi dan ditutup pada 5 petang
Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak sepatutnya diadakan pada 23 September lepas, namun ditangguhkan susulan beberapa masalah yang terjadi semasa pemilihan di Kedah dan Pulau Pinang sehari sebelum itu.
Pada pemilihan kali ini seramai 54 calon bertanding merebut jawatan ketua cabang, manakala 1,183calon lagi menawarkan diri bertanding pelbagai jawatan lain di peringkat cabang.
Pemilihan turut menyaksikan lima ketua cabang menang tanpa bertanding iaitu Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye di cabang Gopeng, Exco Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan Abdul Yunus Jamhari (Parit Buntar); Ejazi Yahaya (Padang Rengas); Abdul Jais Ashfam Ahmed (Beruas) dan Mohd. Anuar Zakaria (Parit).
Sementara itu, pertembungan empat penjuru bagi jawatan ketua cabang berlaku di Lenggong, Bagan Serai, Sungai Siput dan Lumut, manakala tiga penjuru di Gerik, Tambun, Ipoh Barat, Kuala Kangsar, Pasir Salak dan Bagan Datuk. – Bernama










