Lebih 30,000 PATI ditahan setakat 24 Oktober - Imigresen  - Utusan Malaysia

Lebih 30,000 PATI ditahan setakat 24 Oktober – Imigresen 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah menahan seramai 38,124 pendatang asing tanpa izin (PATI) sejak 1 Januari hingga semalam, kata Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mustafar Ali.

Beliau berkata, sejumlah 1,101 majikan turut ditahan sepanjang tempoh itu kerana menggaji atau melindungi PATI.

“Ia adalah hasil daripada lebih 12,000 operasi yang dijalankan di seluruh negara dan lebih 150,000 warga asing telah diperiksa.

“Kita (Imigresen) beri peluang kepada mereka yang berstatus PATI supaya menyerah diri secara sukarela melalui program 3+1 yang tamat 30 Ogos lepas, selepas itu tindakan tegas akan diambil.

“Selain itu, kita telah melaksanakan program Penggajian dan Penempatan Semula PATI atau dikenali sebagai Program Rehiring yang tamat 30 Jun lepas, namun kita mendapati ramai lagi yang tidak mematuhinya,” katanya selepas hadir ke perhimpunan Setia Berjasa bagi Bulan Oktober dan Sambutan Hari Inovasi di Ibu pejabat JIM, Putrajaya, hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai operasi Ops Mega 3.0 yang dilaksanakan di seluruh Malaysia sejak tamat program rehiring 30 Jun lepas, beliau berkata, seramai 17,473 PATI berjaya ditahan dan 472 majikan telah diambil tindakan.

“JIM akan terus giat untuk memerdekakan negara dari PATI meskipun berhadapan dengan pelbagai cabaran yang memerlukan pengorbanan dan keikhlasan. Kita tidak akan bertolak ansur dalam perkara ini terutama kepada majikan yang ingkar dan masih berdegil menggaji dan melindungi PATI,” katanya. – Bernama 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN