KUALA LUMPUR 22 Okt. – Lebih 3,000 pemandu teksi dari seluruh negara dijangka berhimpun secara aman di Padang Merbok, di sini Rabu ini untuk menggesa kerajaan dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) supaya menjamin kesaksamaan dan mencari mekanisme terbaik antara pemandu teksi dan perkhidmatan e-hailing Grab.
Penasihat Big Blue Taxi Facilities Sdn. Bhd,, Datuk Shamsubahrin Ismail (gambar)berkata, kumpulan itu akan berarak ke Ibu pejabat APAD di ibu negara dan kemudian ke bangunan Parlimen sebagai menyatakan bantahan kepada kelewatan pelaksanaan peraturan baharu kepada perkhidmatan e-hailing.
Setakat ini katanya, beliau sudah mendapat ‘isyarat baik’ daripada kumpulan pemandu teksi dari Pulau Pinang, Selangor, Johor, Perak dan Kuala Lumpur.
Menjelaskannya, APAD yang menggantikan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sebelum ini pernah menyatakan yang agensi itu memerlukan tempoh setahun bagi membolehkan peraturan baharu terhadap perkhidmatan perkongsian kenderaan e-hailing dilaksanakan dan tempoh tersebut telah berakhir sebelum Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan.
“Antara syarat yang ditetapkan adalah termasuk mewajibkan semua pemandu e-hailing mendapatkan lesen kenderaan pengangkutan awam (PSV), membuat pemeriksaan kesihatan, saringan rekod jenayah serta pemeriksaan kenderaan melalui Puspakom Sdn. Bhd. (Puspakom).
“Lebih mengecewakan, selepas ‘luput’ janji APAD, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke pula menetapkan tempoh setahun lagi bagi pelaksanaan penuh perkhidmatan e-hailing termasuk mengenakan syarat baharu dalam perkhidmatan itu kerana terdapat lebih 100,000 pemandu e-hailing di seluruh negeri yang perlu didaftarkan,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.
Shamsubahrin yang menyatakan sokongan penuh kepada kepemimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kerajaan seharusnya tidak perlu mengambil masa lama kerana APAD telah membuat kajian mengenai aplikasi e-hailing sebelum ini.
Sehubungan itu beliau mahu Anthony Loke dan Ketua Pegawai Eksekutif APAD, Mohd. Azharuddin Mat Sah yang bertanggungjawab dalam ‘kontroversi’ ini dipecat serta-merta dan digantikan dengan orang lain.
Akhbar melaporkan sebelum ini, dalam Sesi Dialog Bersama Pemandu Teksi Langkawi, Kedah, Dr. Mahathir mengakui beliau ada membangkitkan isu itu di dalam mesyuarat Kabinet tetapi malangnya, Kementerian Pengangkutan dilihat tidak mengambil sebarang langkah susulan.










