Lebih 130 maut insiden letupan di Afghanistan - Utusan Malaysia

Lebih 130 maut insiden letupan di Afghanistan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KABUL 20 Okt. – Lebih 130 orang maut dalam beberapa insiden letupan di pusat pembuangan undi ketika pilihan raya Parlimen Afghanistan berlangsung hari ini.

Beberapa letupan menggegarkan pusat pengundian di sekitar Kabul hari ini menyebabkan sejumlah kematian, ketika penduduk berang kerana terpaksa menunggu lama untuk membuang undi dalam pilihan raya yang sudah lama tertangguh.

Kabul merekodkan jumlah kematian tertinggi setakat ini sekurang-kurangnya 15 orang apabila seorang pengebom berani mati meletupkan dirinya.

Kejadian itu berlaku beberapa jam selepas kumpulan militan Taliban memberi amaran kepada pengundi supaya memboikot proses pembuangan undi jika mahu ‘nyawa mereka selamat’.

Seorang koresponden agensi berita AFP menyatakan bahawa sejumlah pengundi lari menyelamatkan diri ketika pusat pengundian di utara Kabul diletupkan, sekali gus menunjukkan kejadian itu berniat menakut-nakutkan pengundi dan menjejaskan proses pilihan raya.

Kehilangan senarai pendaftaran pengundi dan masalah teknikal pada alat pengesahan biometrik yang digunakan buat pertama kali telah menyebabkan proses membuang undi tertangguh dalam tempoh yang lama.

Keadaan itu menyebabkan orang ramai mula marah dan kebanyakan pusat pengundian dibuka lewat selepas petugas proses pengundian gagal hadir pada masa yang ditentukan.

Sehubungan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya Bebas Afghanistan (IEC) berjanji untuk melanjutkan tempoh pembuangan undi.

Seorang penduduk yang dikenali sebagai Mustafa memberitahu bahawa dia sudah beratur dari awal pagi untuk segera membuang undi namun selepas menunggu lebih sejam, pusat undi masih ditutup.

“Jumlah orang yang beratur semakin banyak dan kami masih belum berdaftar untuk mengundi. Kami bimbang jika pengebom berani mati meletupkan pusat pengundian secara tiba-tiba,” katanya.

Dianggarkan lebih sembilan juta penduduk mendaftar untuk mengundi dalam pilihan raya Parlimen Afghanistan dan jumlah itu meningkatka tiga kali ganda berbanding tiga tahun lalu. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN