KUALA LUMPUR 30 Okt. – Buat pertama kalinya, bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Tengku Mansor mendedahkan dalam sidang Dewan Rakyat hari ini bahawa beliau telah dipanggil lebih 12 kali oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memberi keterangan berhubung dakwaan penyelewengan tanah di Wilayah Persekutuan.

Tengku Adnan berkata, beliau telah tampil dan memberikan keterangan mengenai apa yang diketahuinya mengenai isu tersebut kepada SPRM .
“Saya ucapkan terima kasih kepada menteri (Khalid Samad) yang telah buat penyelidikan dan ramai yang kata saya tidak dipanggil oleh SPRM.
“Untuk makluman dewan, lebih 12 kali saya telah dipanggil dan telah beri keterangan apa yang saya tahu,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, Tengku Adnan turut membidas Tan Kok Wai (PH-Cheras) kerana membuat tuduhan kepada beliau berhubung isu penyelewengan tanah itu ketika sesi soalan tambahan berlangsung.
“Ini sesi soal jawab saya tidak boleh bidas apa yang disebut oleh Cheras (Kok Wai), untuk makluman Cheras, kamu tuduh saya di luar, saya akan bawa kamu ke mahkamah,” katanya. – UTUSAN ONLINE










