Lapor TNB jika premis dinaiki air - Utusan Malaysia

Lapor TNB jika premis dinaiki air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 29 Okt. – Tenaga Nasional Berhad (TNB) menasihatkan orang ramai untuk menghubungi segera syarikat itu sekiranya premis mereka dinaiki air akibat banjir berikutan permulaan Monsun Timur Laut bagi menghentikan bekalan demi keselamatan semua.

Ketua Perhubungan (Awam & Dalaman) TNB, Datuk Ir. Mohd. Aminuddin Mohd. Amin berkata, TNB sentiasa mengawasi keadaan dari semasa ke semasa dan akan menutup bekalan ke pencawang di kawasan banjir sekiranya paras air mencecah tahap bahaya.

“Penutupan bekalan elektrik ke kawasan terlibat dibuat untuk sementara waktu demi memastikan keselamatan orang ramai terjamin, bekalan akan disambung semula selepas air bajir surut dan keadaan kembali selamat.

“Sila hubungi pejabat TNB yang berdekatan, TNB CareLine 15454 atau Facebook TNB Careline sebaik paras air meningkat supaya bekalan elektrik dapat diputuskan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.”katanya dalam satu kenyataan disini hari ini.

Baru-baru ini, Jabatan Meteorologi dalam satu kenyataan memaklumkan, Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh berlaku sehingga Mac depan menyebabkan hujan lebat berlaku di beberapa negeri termasuk di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor.

Beliau berkata, pemilik premis yang dinaiki air juga perlu menghindari penggunaan sebarang peralatan elektrik dan perlu memastikan suis utama ditutp bagi mengurangkan kemungkinan renjatan elektrik berlaku.

Dalam masa sama, ibu bapa juga dinasihatkan supaya sentiasa mengawasi pergerakan anak-anak agar tidak menghampiri tiang elektrik yang tumbang atau wayar elektrik yang terputus semasa banjir kerana arus elektrik mungkin masih mengalir. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN