Lapan ekstremis ditahan - Utusan Malaysia

Lapan ekstremis ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 6 Okt. – lapan individu ditahan selepas merancang menubuhkan pusat pembelajaran bagi menyebarkan fahaman ideologi Salafi Jihadi di Asia Tenggara yang dipelopori tokoh ekstremis, Syeikh Muqbil Hadi Al Wadi’i serta berpengkalan di Dammaj, Yaman.

Mereka terbabit ialah lima warga Eropah, masing-masing satu warga Asia Barat dan Amerika Syarikat (AS) serta seorang warga tempatan berusia antara 24 hingga 38 tahun ditahan oleh Bahagian Counter Terrorism Cawang­an Khas Bukit Aman menerusi serbuan di Perlis, Johor dan Kuala Lumpur, 24 September lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, kesemua suspek merupakan pelajar dan bekas tenaga pengajar di sebuah pusat pembelajaran Islam di Perlis.

Menurut beliau, mereka mem­punyai kaitan dengan sebuah madrasah di Dammaj yang menghalalkan pembunuhan orang bukan Islam serta Islam dan tidak sealiran dengan kumpulan itu dianggap kafir selain melabelkan sistem demokrasi sebagai toghut (tidak mengikut hukum Allah).

Beliau menambah, penahanan pertama dilakukan di Perlis melibatkan lima warga Eropah dan seorang warga AS dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Daesh serta kegiatan ekstremis yang bergerak di negara asal mereka.

“Selain itu, suspek ketujuh adalah lelaki Asia Barat berusia 33 tahun ditahan di ibu negara juga tenaga pengajar di pusat itu dipercayai bergerak aktif menganjurkan kelas agama yang tidak mendapat tauliah dari pihak berkuasa agama negeri bagi tujuan menyebarkan ideologi Salafi Jihadi di sekitar Lembah Klang.

“Seorang peniaga warga tempatan berusia 32 tahun merupakan individu terakhir ditangkap di Muar, Johor. Bekas pelajar pusat pengajian tersebut pada 2014 dipercayai menolak sistem demokrasi yang dianggap toghut serta menyokong pelaksanaan sistem khalifah di negara ini,” katanya dalam satu ke­nya­taan di sini hari ini.

Dalam pada itu, menurut Mohamad Fuzi, hasil siasatan awal mendapati kesemua suspek mendedahkan mereka menolak sistem demokrasi selain ditanam dengan fahaman ekstrem se­perti lelaki dan wanita diharamkan memakai seluar dan mendakwa pengajian sekular di institusi pe­ngajian tinggi awam dan swasta adalah haram.

Tambah beliau, fahaman seterusnya adalah tidak dibenarkan bekerja kerana terdapat percampuran lelaki, wanita dan melabelkan umat Islam lain mengamalkan perkara tersebut sebagai bida’ah serta terkeluar daripada Islam.

Menurutnya, dalam serbuan itu, pihaknya merampas beberapa buku kebanyakannya ditulis oleh tokoh Salafi Jihadi.

“Fahaman ajaran itu dipercayai pemangkin kepada kumpulan pengganas lain seperti Daesh, Al- Qaeda, Kumpulan Abu Sayyaf, Jemaah Islamiah dan lain-lain daripada tersebar di negara ini. Ini bukan kali pertama mereka menggunakan Malaysia sebagai pangkalan menyebarkan fahaman mereka.

“Kesemua suspek ditahan bagi siasatan lanjut kerana melakukan kesalahan di bawah Bab VIa – Kesalahan Berkaitan Keganasan, Kanun keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN