PASUKAN bawah 19 tahun (B-19) negara tewas 1-2 kepada Arab Saudi dalam aksi pertama Kumpulan D Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-19 di Indonesia semalam.
Bagaimanapun pujian harus diberikan kepada skuad muda negara yang dilihat semakin hampir untuk menyaingi pasukan-pasukan muda elit di Asia.
Dalam aksi di Stadium Patriot Chandrabhaga itu, pasukan kendalian Bojak Hodak berjaya memberikan tekanan kepada skuad B-19 Arab Saudi sebaik perlawanan bermula.
Bintang muda Kelantan, Nik Akif Syahiran Nik Mat hampir berjaya mengejutkan Arab Saudi menerusi sepakan percuma tetapi percubaan itu gagal menemui gawang selepas rembatannya tersasar di sebelah tepi pintu gol pasukan lawan.
Namun Turki Marwan Alammar memastikan Arab Saudi mendahului perlawanan apabila membuka tirai jaringan pada minit ke-24.
Bersambung pada babak kedua, pasukan muda negara terus memberikan tekanan kepada Arab Saudi dalam misi mengintai gol penyamaan.
Bagaimanapun, misi skuad negara bertambah sukar selepas Salem Ahmed Alsaleem menggandakan kedudukan buat Arab Saudi pada minit ke-78.
Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak akhirnya berjaya memecah kebuntuan jaringan berbaki tiga minit terakhir perlawanan tetapi kebangkitan lewat itu menyaksikan Arab Saudi tetap berjaya meraih tiga mata dengan kemenangan 2-1.
Selepas aksi bertemu Arab Saudi, skuad muda negara bakal bertemu Tajikistan di venue sama (Selasa) sebelum mengakhiri peringkat Kumpulan D bertemu China pada Jumaat ini.









