ALOR SETAR 27 Okt. – Laluan Rafizi Ramli untuk merampas jawatan Timbalan Presiden dari Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kian berliku dengan majoriti ahli PKR di negeri ini memilih Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu untuk terus berada di kerusi panas tersebut.
Berbaki tiga negeri iaitu Perak, Sabah dan Sarawak yang masih belum menjalankan pemilihan, Rafizi kini sekadar memperoleh 40,153 undi berbanding 41,982 yang diterima Mohamed Azmin.
Dalam pemilihan yang berlangsung di 15 cabang di Kedah semalam dan hari ini, Mohamed Azmin secara keseluruhannya mendapat 3,754 undi, manakala Rafizi memperoleh 3,111 undi.

Mohamed Azmin menguasai 10 cabang iaitu Pendang, Jerlun, Padang Terap, Sik, Baling, Kuala Kedah, Jerai, Sungai Petani, Kulim Bandar Baharu dan Padang Serai, manakala Rafizi menang di lima kawasan iaitu Alor Setar, Langkawi, Kubang Pasu, Pokok Sena dan Merbok.
Begitu keputusan itu masih belum dimuktamadkan dengan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) selepas ini akan menilai jumlah undi ragu.
Sementara itu di Ipoh, keputusan undian tidak rasmi pemilihan di 10 daripada 24 Cabang PKR Perak hari ini menyaksikan Rafizi Ramli mendahului Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bagi perebutan jawatan Timbalan Presiden parti itu.
Rafizi mendapat 2,282 undi atau majoriti 1,250 undi mengatasi Mohamed Azmin yang mendapat 1,032 undi iaitu berdasarkan undian yang diperoleh selepas kiraan undi di 10 cabang parti itu.










