KUALA TERENGGANU 16 Okt. – Laluan Jabor – Kijal di antara kilometer (km) 250 dan km 305.9 yang meliputi sebahagian daripada Lebuh Raya Pantai Timur 1 (LPT1) dan Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) akan ditutup sementara pada 22 Oktober mulai pukul 12 tengah malam hingga 2 petang.
Pengurus Perniagaan Wilayah LPT 2 Sdn. Bhd., Roszi Ibrahim memberitahu, penutupan yang juga membabitkan persimpangan bertingkat Ceneh dan persimpangan bertingkat Cukai di LPT2 itu bagi memberi laluan kepada penganjuran acara berbasikal De’ Perasing Ride@LPT2.
Sehubungan dengan itu, beliau dalam satu kenyataan menasihatkan orang ramai supaya menggunakan laluan alternatif serta merancang perjalanan mereka sepanjang penutupan tersebut.
“Pengguna dari arah Kuala Lumpur yang ingin ke Pantai Timur boleh keluar dari LPT1 menerusi Plaza Tol Jabor. Jika ingin terus ke Kuala Terengganu dan Kelantan menerusi LPT2, pengguna boleh masuk semula ke LPT2 menerusi Plaza Tol Kijal.
“Bagi kenderaan dari arah Kuala Terengganu yang menghala ke Kuala Lumpur, mereka perlu keluar di Plaza Tol Kijal di LPT2 sebelum masuk semula ke LPT1 menerusi Plaza Tol Jabor untuk meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur,” ujar beliau. – UTUSAN ONLINE










