Kursus Umrah Perdana dapat sambutan menggalakkan - Utusan Malaysia

Kursus Umrah Perdana dapat sambutan menggalakkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 20 Okt. – Kursus Umrah Perdana anjuran Tabung Haji Travel Services (THTS) yang berlangsung di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, di sini hari ini mendapat sambutan menggalakkan dengan kehadiran lebih 2,000 peserta sekitar Lembah Kelang.

Kursus percuma yang julung kalinya diadakan itu antara lain menjemput penceramah-penceramah terkenal untuk memberi pencerahan berkaitan ibadah umrah iaitu perunding motivasi, Syed Mohd. Norhisyam Tuan Padang; penceramah agama, Dr. Mohd. Farid Ravi Abdullah dan Imam Besar Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Nor Azamir Alias.

DATUK KHALID NOORDIN
DATUK KHALID NOORDIN 

Ketua Pegawai Eksekutif THTS, Datuk Khalid Noordin berkata, mereka yang hadir hari ini turut diberi promosi khas iaitu potongan harga sebanyak RM300 bagi pakej-pakej umrah dan pelancongan di bawah syarikat itu.

“Objektif kursus ini adalah bagi memberi pendidikan kepada jemaah tentang hukum hakam serta cara beribadah dalam mengerjakan umrah. Selain itu, kita tekankan kepada falsafah dan ibadah umrah.

“Kita fokus kepada usaha memberi gambaran tentang aturcara umrah selain mengetengahkan penghayatan dan kesedaran tentang tempat-tempat bersejarah di Tanah Suci,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri kursus itu.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, THTS seterusnya akan menganjurkan kursus sama di beberapa bandar besar lain termasuk Shah Alam, Pulau Pinang dan Johor Bahru.

Sementara itu, beliau turut menasihati umat Islam agar memilih syarikat pengendali pakej umrah yang berdaftar bagi menjamin kelancaran ibadah mereka kelak.

Katanya, syarikat itu perlulah berpengalaman serta mempunyai rekod perkhidmatan yang diperakui.

“Kita di THTS mempunyai pengalaman selama 46 tahun dalam industri dan mempunyai lebih 20 anggota tetap. Kitalah pilihan yang terbaik,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN