KUALA LUMPUR 28 Okt. – Hanya 2,184 daripada 11,651 ahli PKR Cabang Hulu Langat menunaikan tanggungjawab mengundi pada pemilihan cabang itu setakat pukul 5 petang ini.
Penolong Ketua Pengawas Pemilihan PKR Cabang Hulu Langat, Raja Ahmad Saifulizam Raja Ariffin berkata, hal itu mungkin disebabkan faktor cuaca yang tidak menentu sepanjang tempoh pengundian dijalankan.
Bagaimanapun, katanya, proses pengundian berjalan lancar walaupun berlaku sedikit kekecohan pagi tadi.
“Pagi tadi, kita mula lambat, pukul 10.25 baru mula, jadi ramai pengundi datang lebih awal dan keadaan di sini sesak. Berlaku sedikit kekecohan, selepas sejam, keadaan kembali reda.
“Kita sasarkan dalam 40 peratus yang keluar mengundi. Tapi mungkin sebab ada hujan sikit. Ada juga yang balik awal, protes kerana kita mula lewat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kampung Baru, Semenyih, dekat sini hari ini.
Selain Hulu Langat, lima cabang lagi yang mengadakan pemilihan adalah Tanjung Karang, Kuala Selangor, Ampang, Pandan dan Shah Alam yang secara keseluruhan mempunyai lebih 61,000 ahli.
Pemilihan hari ini adalah fasa terakhir proses pemilihan PKR peringkat Selangor daripada 22 cabang di Selangor.
Untuk rekod, Selangor mempunyai keahlian paling ramai yang disahkan layak mengundi iaitu 249,850 orang. -UTUSAN ONLINE










