PUTRAJAYA 20 Okt. – Kolej Universiti Poly-Tech Mara (KUPTM) bakal mendapat status sebagai universiti penuh pada Oktober 2020.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nordin Ahmad berkata, usaha ke arah mencapai status itu sedang digerakkan selaras matlamat Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar.
“Pada masa ini gerak kerja ke arah mencapai status tersebut adalah 60 peratus dengan jawatankuasa pemandu telah dibentuk bagi memastikan matlamat ini tercapai.
“Perkembangan dalam bidang akademik, penyelidikan, inovasi, aktiviti dan penglibatan pelajar terutama di peringkat nasional serta antarabangsa juga menunjukkan komitmen ke arah universiti penuh,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau hadir pada Majlis Konvokesyen KUPTM Kuala Lumpur kali ketiga dan Majlis Konvokesyen Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) ke-35 yang dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd. Harun di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Konvokesyen KUPTM dan KPTM yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini itu menyaksikan seramai 5,202 graduan menerima ijazah dan sarjana daripada 44 kursus pengajian yang ditawarkan.
Dua graduan menerima Anugerah Berlian yang mengiktiraf mereka sebagai graduan cemerlang dalam akademik, kokurikulum dan kepemimpinan, mereka adalah Muhammad Haziq Nordin, 25 dan Nurul Jannah Athira Zainal, 21.









