KEMAMAN 7 Okt .- Kelab Pesara Kerajaan Malaysia (Kupekmas) yang ditubuhkan enam tahun lalu sehingga kini menarik penyertaan kira-kira 15,000 orang daripada lebih 800,000 bekas kakitangan awam di seluruh negara.
Presidennya, Datuk Omar Osman berharap lebih ramai akan menyertai kelab yang menjadi penghubung dengan kerajaan termasuk memberi khidmat nasihat kepada ahli yang menghadapi masalah dengan pihak kerajaan berkaitan hal persaraan dan kebajikan ini.
Sehubungan itu katanya, siri jelajah ke setiap negeri diadakan untuk menarik penglibatan lebih ramai pesara bagi mengukuhkan lagi peranan kelab dalam memayungi mereka.
“Pihak kelab sentiasa berusaha mendapatkan peruntukan daripada kerajaan untuk memberi faedah kebajikan seperti sakit kritikal, kemalangan serius yang dialami oleh ahli dan keluarga ahli,” ujarnya.
Beliau yang juga bekas Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berkata demikian dalam Majlis Silaturahim dan Kempen Keahlian Kupekmas Negeri Terengganu (Daerah Kemaman) di Dewan Bangunan Persekutuan Kemaman hari ini.
Perasmian disempurnakan oleh Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Abd. Hamid Yang turut hadir, Setiausaha Agung Kupekmas, Abd. Rahim Mahad dan Pengerusi Kupekmas Terengganu, Razali Mohamad.
Bercakap kepada Utusan Online, Omar berkata, Kupekmas ditubuhkan pada tahun 2012 terutama bagi memperjuangkan pesara kerajaan terutama kumpulan pelaksana Gred 54 kebawah di samping menggerakkan aktiviti sosial.
“Daripada seramai 878,000 pesara, 87 peratus daripadanya kumpulan yang menerima pencen kurang daripada RM5,000 sebulan.
“Kupekmas tidak mengenakan yuran bulanan atau tahunan, sebaliknya kita hanya mendaftar keahlian dengan bayaran sebanyak RM40 pesara tersebut akan menjadi ahli seumur hidup,” katanya.
“Sekiranya ahli meninggal dunia, Kupekmas akan memberi sumbangan sebanyak RM1,000 dan jika ahli mendapat rawatan hospital selama tiga malam, ahli tersebut layak menerima RM200.00 sekali dalam masa satu tahun,”ujarnya. – UTUSAN ONLINE









