SAUDARA PENGARANG,
KERAJAAN digesa tidak terlalu agungkan bahasa Inggeris dalam usaha memacu ekonomi negara kerana ia bukan bahasa unggul untuk membina tamadun.
Harus diingat bahawa bahasa Melayu pernah menjadi bahasa utama (lingua franca) di rantau Asia kerana kemajuan ekonomi yang dikecapi Kesultanan Melayu Melaka dahulu.
Maka seharusnya kerajaan mengembalikankegemilangan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan perdagangan dan bukannya meletakkan bahasa asing setaraf bahasa kebangsaan.
Saya cadangkan kerajaan melaksanakan strategi untuk mengangkat semula bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan perdagangan.
Kerajaan haruslah mengukuhkan institusi penterjemahan di negara ini.
Selain itu, kerajaan perlu memberi insentif dan galakan kepada penyelidik untuk menulis hasil penyelidikan dalam bahasa Melayu terutama penyelidikan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM).
Kerajaan juga perlu menekankan bahasa Melayu sejak peringkat sekolah lagi.
Secara ringkasnya kerajaan perlu mengukuhkan institusi penterjemahan, memberi insentif kepada penyelidik untuk menulis kertas kajian mereka dan menekankan pengucapan awam dalam bahasa Melayu. Inilah proses yang perlu dilalui.
IKRAM YUSOF
Universiti Tun Abdul Razak










