PUCHONG – Kementerian Pendidikan sedang dalam peringkat perbincangan mengenai keperluan untuk mengajar pelajaran renang di sekolah, kata Menterinya, Maszlee Malik.
Beliau berkata, cadangan tersebut disuarakan sendiri oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berikutan peningkatan kejadian lemas membabitkan pelajar sekolah sejak kebelakangan ini.
Katanya, perbincangan tersebut turut mengambil kira masalah kekurangan kemudahan kolam renang terutamanya di sekolah-sekolah luar bandar.
“Kemahiran berenang ini sangat penting dalam kalangan anak-anak. Di Finland dan Australia serta beberapa negara lain, kemahiran berenang wajib diajar di sekolah.
“Di sekolah swasta juga banyak yang telah mewajibkan kelas renang dan di sekolah kerajaan, kita akan cuba adakan secara berperingkat-peringkat,” katanya kepada Bernama selepas melawat keluarga mangsa lemas Muhammad Ilham Fahmy Mohammad Azzam di sini hari ini. – Bernama










