PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) hari ini mengumumkan 16 jenis barangan bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan bersempena sambutan Deepavali pada 6 November depan.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, skim kawalan harga itu akan dilaksanakan dari 3 hingga 9 November depan, menurut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
“Antara barangan terbabit ialah ayam hidup, ayam standard, ayam super, daging kambing tempatan dan import bertulang, daging biri-biri import bertulang, telur ayam, tomato, kelapa biji dan parut, bawang besar, ubi kentang dan kacang dal,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu beliau menghadiri perhimpunan bulanan KPDNHEP. Hadir sama ialah Timbalan Menteri berkenaan, Chong Chieng Jen dan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Jamil Salleh.
Mengulas lanjut, beliau berkata, penetapan harga barang kawalan terbabit dibuat bersandarkan harga-harga di 91 buah daerah di Semenanjung, 32 daerah di Sarawak, 27 daerah di Sabah dan satu di Labuan. – Bernama











