SHAH ALAM – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor menumpaskan sindiket membeli diesel subsidi dengan merampas 6,000 liter diesel dalam operasi di sebuah stesen minyak di Batu 4, Puchong dekat sini semalam.
Rampasan tersebut dibuat selepas pihak KPDNHEP Selangor menahan sebuah lori tangki yang sedang mengisi minyak diesel di sebuah pam di stesen minyak berkenaan kira-kira pukul 12.45 pagi.
Ketua Pegawai Penguat Kuasanya, Azman Adam berkata, serbuan tersebut dilakukan selepas pihaknya menerima maklumat awam dan hasil risikan selama hampir seminggu tentang kegiatan sindiket terbabit.
Menurut beliau, ketika serbuan itu dilakukan, suspek sudah mengisi hampir 6,000 liter diesel yang mana isian penuh bagi tangki simpanan yang telah diubah suai di lori terbabit.
“Hasil siasatan kita mendapati, suspek telah mengubah suai tangki asal lori terbabit yang mana telah menempatkan satu pam berdekatan tangki asal untuk mengepam diesel yang dibeli ke tangki simpanan berkapasiti 6,000 liter.
“Susulan itu, kita kemudiannya menahan dua lelaki iaitu pemandu dan pembantunya berusia 30-an untuk siasatan lanjut. Kita turut menyita lori terbabit,” katanya pada sidang akhbar di Stor Penyimpanan KPDNHEP Seksyen 25 di sini hari ini.
Beliau berkata, rampasan termasuk diesel dan kenderaan terbabit dianggarkan bernilai kira-kira RM61,000.
Tambahnya, siasatan awal pihaknya juga mendapati sindiket berkenaan mampu meraih pendapatan hampir RM1,200 bagi satu tangki penuh lori tangki terbabit apabila mereka menjualnya kepada pihak industri dengan kadar keuntungan 20 sen bagi setiap liter.
Difahamkan sindiket ini membeli diesel pada harga bersubsidi iaitu RM2.18 seliter berbanding harga jualan untuk industri sebanyak RM2.40 seliter.
Azman berkata, pihaknya juga akan mengambil tindakan terhadap pekerja dan pemilik stesen minyak yang disyaki bersubahat menjual minyak dengan cara yang tidak sah, iaitu pengisian minyak selain dari tangki asal kenderaan.
“Siasatan sedang kita jalankan, jika pihak stesen minyak turut terlibat dalam penyelewangan tindakan termasuk menghentikan lesen boleh diambil ke atas pengusahanya,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Bekalan 1961 kerana menyimpan barangan kawalan dengan niat melakukan kesalahan dan Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak dilesenkan.
Kesalahan itu memperuntukan hukuman denda RM1juta atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama individu manakala denda RM3 juta dan penjara tiga tahun bagi kesalahan kedua.
Bagi syarikat, mereka boleh didenda maksimum RM2 juta untuk kesalahan pertama manakala RM5 juta bagi kesalahan kedua. – K! ONLINE










