KUALA LUMPUR 30 Okt.- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berhasrat memperluaskan program Food Bank Malaysia ke semua negeri sebagai langkah membantu golongan yang memerlukan.
Menterinya, Datuk Saifuddin Nasution berkata, menerusi program tersebut beberapa pihak termasuk pengurusan pasar raya serta pengusaha hotel akan mengumpulkan lebihan makanan yang masih elok untuk diagihkan kepada golongan sasaran.
“Program ini telah dilaksanakan di Melaka, Pulau Pinang, Johor, Negeri Sembilan serta peringkat Wilayah Persekutuan, hari ini.
“Pada November depan kita akan melancarkan program tersebut di Kelantan dan menyasarkan semua negeri melaksanakan program tersebut selewat-lewatnya tahun hadapan,” katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar selepas merasmikan program Food Bank Malaysia peringkat Wilayah Persekutuan di sini hari ini.
Dalam majlis tersebut, 202 penerima terdiri daripada golongan kurang berkemampuan, orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal serta warga emas menerima pelbagai barangan keperluan isi rumah sumbangan pasar raya AEON Big. – UTUSAN ONLINE









