JOHOR BAHRU 17 Okt. – Kerajaan perlu mengkaji semula cadangan membina jambatan bengkok ke Singapura kerana kosnya akan melonjak mencecah hingga RM4.4 bilion pada masa kini.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kos itu akan naik tiga atau empat kali ganda berbeza dengan kos asal pada 2003 iaitu hanya kira-kira RM1.1 bilion.
“Adalah memeranjatkan untuk sebuah projek mega pada skala yang sangat besar ini mahu dihidupkan semula sedangkan matlamat kerajaan kini adalah untuk menguruskan struktur fiskal negara dengan lebih baik terlebih dahulu.
“Justeru, tidak perlu untuk berbelanja secara tidak wajar dan terlibat dalam percaturan genting untuk membincangkan kebarangkalian menghidupkan semula projek ini semata-mata atas kepentingan politik,” kata beliau dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Mohamed Khaled yang juga bekas Menteri Besar berkata, Johor memerlukan keutamaan lebih besar dalam projek infrastruktur yang membawa faedah seperti Transit Aliran Massa Laluan Tiga (MRT3), Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan saluran paip gas asli di Sabah.
Sementara itu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak mempersoalkan manfaat jambatan tersebut kepada rakyat.
Beliau berkata, projek tersebut bukan sahaja telah dibatalkan semasa pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri, malah sejumlah pampasan yang besar juga telah dibayar kepada kontraktor terlibat.
“Soal sekarang sama ada jambatan itu akan memberi manfaat kepada rakyat atau tidak? Ini kena nilai dan cabaran untuk kerjasama dengan Singapura kerana negara itu tidak mahu meruntuhkan Tambak Johor sedia ada,” kata beliau di lobi Parlimen di sini, hari ini.










