KUALA LUMPUR 29 Okt. – Sebarang konvensyen antarabangsa yang mungkin bertentangan dengan semangat Perlembagaan Persekutuan dan prinsip Rukun Negara perlu ditolak, dikaji secara mendalam atau mengambil kira pandangan semua pihak.
Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha berkata, tindakan terburu-buru kerajaan Pakatan Harapan (PH) menandatangani konvensyen antarabangsa seperti Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dikhuatiri akan meruntuhkan asas pembinaan negara bangsa.
“MBM menyokong usaha kerajaan dalam mengangkat isu hak asasi manusia namun ia hendaklah bersesuaian dengan budaya, norma dan adat resam semua bangsa di negara ini.
“Dalam hal ini, PH merupakan kerajaan di sebuah negara yang mendaulatkan Islam, jadi tanggungjawab tersebut bukan hanya memelihara hak kaum majoriti bahkan wajib mempertahankan kepentingan kaum-kaum lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Rabu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P. Waytha Moorthy memberitahu, kerajaan PH komited untuk mengesahkan enam triti hak asasi manusia termasuk Konvensyen Antarabangsa mengenai ICERD.
Katanya, tindakan tersebut tidak menjejaskan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan selain akan melibatkan semua pihak berkepentingan. – UTUSAN ONLINE










