KUALA LUMPUR 25 Okt. – Pihak yang didapati bersalah dalam kerja-kerja pembinaan di Jalan Bukit Kukus, Paya Terubong, Pulau Pinang baru-baru ini sehingga menyebabkan kematian akan ditamatkan kontrak mereka serta-merta.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd. Anuar Tahir berkata, ini termasuk mana-mana pihak yang didapati menyembunyikan fakta berhubung kejadian itu sekiranya wujud kecuaian oleh pihak perunding dan kontraktor.
Walau bagaimanapun, kata beliau, pihak kementerian masih dalam proses siasatan untuk mencari punca tragedi itu dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas kepada mereka yang bersalah.
“Kalau sekiranya mereka didapati bersalah termasuk penyembunyian fakta, tindakan tegas akan diambil. Kita ada Jabatan Forensik di bawah kementerian yang akan menyiasat perkara ini secara terperinci dengan kadar segera.
“Pihak kerajaan negeri juga perlu memberi perhatian agar kejadian seperti ini tidak berulang lagi,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Minggu Pembinaan Antarabangsa dan ASEAN Super 8 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas kejadian tanah runtuh di tapak pembinaan projek Jalan Bukit Kukus pada Jumaat lalu yang telah mengorbankan sembilan nyawa.
Kesemua mangsa terdiri daripada warga asing dari Indonesia, Bangladesh dan Myanmar yang kebanyakannya bekerja di kawasan tapak pembinaan projek jalan raya berkembar di situ.
– UTUSAN ONLINE










