Konsulat Arab Saudi digeledah - Utusan Malaysia

Konsulat Arab Saudi digeledah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISTANBUL – Pasukan Turki dan Arab Saudi yang me­nyiasat kehilangan wartawan Arab Saudi, Jamal Khashoggi meninggalkan konsulat Arab Saudi di kota raya Istanbul awal pagi semalam selepas melakukan pencarian selama sembilan jam di dalam ba­ngunan berkenaan, kata beberapa saksi agensi berita Reuters.

Ketika pencarian itu dilakukan, saluran televisyen CNN dan akhbar New York Times melaporkan bahawa Arab Saudi bersiap sedia untuk mengaku bahawa Jamal mati akibat kesilapan soal siasat, manakala Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pula membuat spekulasi bahawa ‘pembunuh yang melanggar arahan’ bertanggungjawab membunuh wartawan tersebut.

Konsulat Arab Saudi itu merupakan tempat terakhir Jamal dilihat sebelum dia hilang pada 2 Oktober lalu.

Sementara itu, Trump menghantar Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo untuk menemui Raja Salman bagi membincangkan kes itu yang telah mencemarkan hubungan antara Washington dan Riyadh.

Pasukan penyiasat Turki terdiri daripada 10 anggota ­itu meninggalkan konsulat Arab Saudi sebelum pukul 5 pagi (waktu tempatan) selepas melengkapkan pencarian pada awal semalam, kata seorang saksi.

“Seorang pendakwa raya Turki beredar dari bangunan konsulat sejam setengah kemudian. Selepas itu, pasukan penyiasat Arab Saudi turut meninggalkan kawasan tersebut dengan menaiki tiga buah kenderaan,” kata seorang saksi lain.

Empat kenderaan forensik tiba di luar konsulat itu dan mengambil sampel tanah dan sebuah pintu besi dari taman di pekarangan bangunan tersebut, kata saksi Reuters. Seekor anjing polis turut digunakan oleh pasukan mencari.

Jamal yang merupakan warga AS, kolumnis akhbar Washington Post dan pengkritik utama Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman hilang selepas memasuki konsulat di Istanbul untuk mendapatkan dokumen bagi perkahwinannya.

Pegawai-pegawai Turki berkata, mereka percaya bahawa dia dibunuh di dalam bangunan konsulat sebelum mayatnya dipindahkan ke tempat lain.

Memetik dua sumber yang tidak didedahkan identiti mereka, CNN melaporkan kelmarin bahawa Arab Saudi sedang menyiapkan laporan yang akan mengesahkan bahawa kematian Jamal adalah akibat kesilapan semasa soal siasat.

Kerajaan Arab Saudi belum mengulas mengenai laporan CNN itu. – Reuters

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN