Kommaly sasar bantu 300 keluarga - Utusan Malaysia

Kommaly sasar bantu 300 keluarga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

VIENTIANE 15 Okt. – Pengasas Mulberries Farm, Kommaly Chanthavong berhasrat untuk membantu lagi 600 keluarga miskin dalam tempoh dua tahun.

Setakat ini, katanya, 200 keluarga sudah mendapat manfaat daripada aktiviti tenunan kain sutera dan tanaman pokok mulberi.

Menurutnya, pusat tersebut buat masa ini memenuhi 70 peratus permintaan di peringkat domestik manakala selebihnya sudah memasuki pasaran eksport ke Australia, Amerika Syarikat, Jepun dan Kanada.

“Jika kami dapat memberi peluang kepada lebih ramai pekerja terlibat, ini dapat membantu meningkatkan kapasiti pengeluaran secara berperingkat pada masa hadapan.

“Sehubungan itu, kami amat menyambut baik kerjasama dengan Yayasan Maybank ini kerana ia akan membantu lebih banyak keluarga miskin di wilayah ini untuk mening­katkan taraf hidup masing-masing,” katanya selepas majlis perasmian Asrama Maybank Women Eco-Weavers di Mulberries Farm di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Timbalan Kabinet Pejabat Gabenor Wilayah Xiangkhouang, Bounhom Thepthani; Pengerusi Maybank, Datuk Mohaiyani Shamsudin dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Maybank, Shahril Azuar Jimin.

Pembinaan asrama itu mulai Januari lalu iilhamkan daripada tapak arkeologi Plain of Jars di wilayah Xiangkhouang yang direka oleh arkitek Johann Nawawi. Ia boleh menempatkan 20 pelatih dalam satu masa.

Mulberries Farm mula dibuka pada 1976 selepas Kommaly menempatkan 10 wanita miskin dari wilayah di Hua Phan, Xam Neua dan memulakan Koperasi Kraftangan Phontong.

Pada 1993, ladang organik sutera Mulberries dibuka di Xiangkhouang sebagai pusat penyelidikan dan model ladang sutera.

Pusat tersebut bertujuan menghidupkan semula pengeluaran sutera tradisional dengan menyediakan latihan dan sokongan dalam ternakan ulat sutera, seni dan kraftangan tenunan.

Sejajar dengan aspirasi penubuhan Yayasan Maybank untuk meningkatkan taraf hidup komuniti, Kommaly akan dibawa khas ke Kuala Lumpur pada 16 hingga 26 Oktober ini di bawah program program Women Eco-Weavers.

Pameran itu akan diadakan di Balai Seni Menara Maybank dan turut menampilkan penenun dari Kemboja dan Indonesia yang turut terlibat di bawah program berkenaan. – utusan

Di Kemboja, Yayasan Maybank membina pusat tenunan yang telah melatih 100 penenun dalam industri berasaskan sutera manakala di Indonesia pula melibatkan fasiliti berasaskan tenunan kapas dengan dua di Sumatera Barat dan dua di Lombok dari segi pembiayaan mikro.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN