BAGI peminat rancangan komedi, program Maharaja Lawak Mega (MLM) bukanlah sesuatu yang asing bagi mereka.
Bagi mereka yang tertunggu-tunggu pertandingan komedi yang mula diperkenalkan sejak 2011 itu, anda boleh menyaksikan musim terbaharu MLM 2018 bermula November depan.
Dibarisi 14 peserta terdiri daripada peserta solo, duo dan trio, MLM 2018 pasti menjanjikan aksi komedi lebih unggul yang membuatkan penonton ketawa tidak kering gusi.
Ketua Kandungan Strategik (Komedi) Astro, Namanzee Harris berkata, untuk penganjuran musim ke-7 ini, sekali lagi pihaknya berjaya menghimpunkan bakat-bakat komedi terhebat.
“Kami sekali lagi berjaya menghimpunkan bakat-bakat komedi dari Nusantara iaitu Malaysia, Indonesia dan Singapura.
“Ada yang boleh dianggap senior dalam kalangan pelawak dan terdapat muka baharu yang terlibat untuk edisi kali ini.
“Bagaimanapun, kesemua peserta mempunyai pengalaman beraksi di pentas besar sebelum ini dan setiap daripada mereka ada identiti tersendiri dalam persembahan lawak yang dipentaskan,” katanya.
Menurutnya lagi, dengan pengalaman yang ada pada diri setiap peserta, ia boleh dikatakan persaingan yang sangat sengit untuk musim ini.
“Kepelbagaian ini pastinya memberikan saingan sengit kepada mereka dalam merebut gelaran juara,” ujarnya.
Dengan kejayaan demi kejayaan yang digapai sebelum ini, Namanzee turut menerbangkan harapan agar MLM 2018 dapat merakamkan kejayaan yang lebih hebat.
“Besar harapan kami agar MLM 2018 dapat merekodkan kejayaan lebih cemerlang daripada pencapaian musim-musim terdahulu.
“Sokongan daripada pelbagai pihak terhadap program ini menyuntik semangat kami untuk terus komited dalam mengangkat industri komedi ke tahap lebih tinggi.
“Malah, penyertaan mereka dalam program ini telah membuka pintu kepada peserta untuk memperkembangkan bakat jenaka yang ada, seterusnya melebarkan kerjaya seni masing-masing melepasi sempadan negara,” ujarnya.
MLM 2018 bakal membuka tirai pada setiap hari Jumaat bermula 2 November 2018 pada pukul 10 malam.
Ia akan dipancarkan secara langsung di Astro Warna (saluran 132), Warna HD (saluran 124) dan untuk pilihan alternatif, program realiti pertandingan komedi ini turut boleh ditonton menerusi platform digital Astro GO dan on demand.









