KEMAMAN 28 Okt. – Seramai 267 peserta dari seluruh negara menyertai Pertandingan Memanah Tradisional yang diadakan di Komplek Rakan Muda Daerah, di sini semalam.
Pertandingan peringkat amatur yang menggunakan format ‘Word Archery – Indoor 18 Meter’ yang julung kali diadakan dianjurkan Kelab Memanah Meraga Sukma Binjai (KMMSB).
Penasihat KMMSB, Mohd. Rozman Mamat berkata, pertandingan itu melibatkan enam kategori iaitu Tradisional Wanita, Tradisional Lelaki A, Tradisional Lelaki B, Tradisional C, Barebow Terbuka A dan Barebow Terbuka B.
Katanya, hadiah wang tunai sebanyak RM500 ditawarkan kepada juara, RM300 untuk naib juara manakala pemenang tempat ketiga membawa pulang RM100.
“Penganjuran ini adalah sebahagian daripada misi KMMSB untuk membantu mengangkat sukan memanah yang menjadi sunnah Rasulullah SWT serta memperluaskan penglibatan anggota masyarakat.
“Kita juga mahu memupuk kasih sayang, persefahaman dan toleransi dalam sukan memanah tradisional.
“Ia juga bertujuan memberi pendedahan kepada pemanah-pemanah amatur di negeri ini mengikut format yang diguna pakai pada peringkat dunia dalam acara indoor,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas majlis perasmian pertandingan itu di sini.- UTUSAN ONLINE










