KUALA LUMPUR 23 Okt. – Sebanyak 293 Klinik 1Malaysia akan dijenamakan semula sebagai Klinik Komuniti manakala 34 buah lagi bakal ditutup secara berperingkat.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, sebanyak 20 Klinik 1Malaysia pula akan dinaik taraf sebagai klinik kesihatan dengan fokus kepada rawatan pesakit luar khususnya dalam menangani penyakit tidak berjangkit.
Jelas beliau, Klinik 1Malaysia yang menyediakan perkhidmatan kesihatan ibu dan anak pula akan dinaik taraf kepada klinik kesihatan.

“Ada beberapa peratus Klinik 1Malaysia mempunyai doktor dan ada yang tidak, saya kira satu pertiga tiada. Jadi kementerian akan melaksanakan pelan transformasi perkhidmatan dengan memberi nilai tambah tertentu.
“Tiga komponen utama di bawah pelan ini adalah fokus kepada rawatan pesakit luar, penyakit tidak berjangkit dan kecemasan asas serta penempatan pegawai perubatan secara berperingkat,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Abdul Rahman Mohamad (BN-Bera) mengenai impak positif penjenamaan semula Klinik 1Malaysia dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini. – UTUSAN ONLINE










