KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan hari ini mengulangi komitmen untuk memastikan kebebasan media terjamin, selain liputan media yang seimbang kepada setiap parti politik dalam negara.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith yakin ruang yang disediakan secara adil kepada setiap pihak berkenaan akan memberikan rakyat maklumat yang seimbang dan lebih tepat.
“Kerajaan sentiasa komited dalam menjamin kebebasan media serta melaporkan berita dan buat kritikan kepada kerajaan, ini kerana berita yang tepat tanpa berat sebelah akan mencorakkan pemikiran rakyat agar jadi lebih matang,” katanya ketika menggulung usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 untuk kementeriannya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Eddin Syazlee berkata, RTM sebagai agensi penyiaran di bawah kerajaan bagaimanapun akan mengutamakan nilai berita, kepentingan dan minat rakyat terlebih dahulu dalam menyiarkan sesuatu berita.
Mengenai celahan Ma’mun Sulaiman (Warisan-Kalabakan) yang mahu tindakan tegas diambil terhadap blog dan akaun Facebook yang menyebarkan fitnah, Eddin Syazlee berkata pemantauan secara seimbang sememangnya dilakukan kementerian sebelum tindakan menyekat sesuatu laman sesawang atau akaun Facebook. – Bernama










