KUALA LUMPUR 25 Okt. – “Kita tidak minta sedekah, ini strategi untuk selamatkan Felda, Felcra dan beberapa agensi yang lain.”
Perkara itu ditegaskan oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika menjawab soalan tambahan Awang Hashim (Pas-Pendang) yang meminta mempertimbangkan semula penjualan aset seperti dalam Felcra, Felda dan agensi kerajaan yang lain.
Awang turut mempersoalkan sama ada kewangan agensi tersebut terlalu teruk sangat sehingga perlu meminta sedekah dengan menjual aset.
Mohamed Azmin menjelaskan, beliau tidak berniat untuk menjual semua aset Felcra tetapi hartanah agensi itu di Jalan Semarak di sini yang mengalami kelewatan dan perlu diselamatkan.
“Hal ini supaya tidak menjejaskan komitmen Felcra kepada lebih 100,000 peserta di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak yang perlu diberikan dividen serta pembiayaan sara hidup,” katanya dalam sesi waktu pertanyaan-pertanyaan menteri sidang Dewan Rakyat, hari ini. – UTUSAN ONLINE










