Khalid Samad kesal Sungai Batu tercemar - Utusan Malaysia

Khalid Samad kesal Sungai Batu tercemar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 14 Okt. – Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad meluahkan kekesalan terhadap perubahan kualiti air yang semakin tercemar di Sungai Batu, Gombak, di sini sehingga menyebabkan sumber bekalan air bersih terjejas.

Beliau berkata, masalah itu berpunca daripada sikap penduduk yang suka membuang sampah ke dalam sungai selain faktor pembangunan, industri dan komersial di kawasan persekitaran sungai.

Katanya, pelbagai usaha dilakukan kerajaan termasuk membelanjakan berbilion ringgit sejak 2011 untuk melaksanakan kerja-kerja pembersihan merangkumi lapan batang sungai sepanjang kira-kira 110 kilometer itu, namun kualiti air masih tidak berubah.

“Setelah tujuh tahun berlalu, usaha pembersihan sungai oleh kerajaan dilihat tiada noktahnya apabila sikap masyarakat masih tidak berubah.

“Tindakan mereka yang suka membuang sampah sarap, sisa makanan, sisa kilang dan sebagainya menyukarkan usaha menukar kualiti air sungai dari kelas tiga kepada kelas satu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan aplikasi River of Life Citizen’s Eye sempena Hari Sungai Sedunia Peringkat Kebangsaan 2018 di sini hari ini.

Terdahulu, beliau bersama wakil daripada pelbagai agensi kerajaan antaranya Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Perhutanan meninjau keadaan kualiti air di empat lokasi iaitu Taman Negeri Selangor, Empangan Batu, Kampung Nakhoda dan Loji Rawatan Air Sungai Batu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN