KANGAR 21 Okt. – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat mencemar duli bagi menyempurnakan majlis penutupan dan penyampaian hadiah sempena Pesta Air Kuala Perlis 2018 yang berlangsung di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Perlis di sini, hari ini.
Juara keseluruhan dalam Pertandingan Perahu dimenangi oleh Kampung (Kg.) Hujung Tanjung.
Pemenang bagi Kategori P20 Jemputan ialah pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia manakala Kategori P20 Jabatan pula ialah Jabatan Pelajaran Negeri.
Bagi Kategori Perahu P14 Kampung dimenangi oleh Kg. Besi dan Kategori Perahu P12 Kampung ialah Kg. Seberang Jaya.
Turut berangkat pada majlis itu ialah anakanda-anakanda baginda berdua, Puteri Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Syed Sitajuddin Areeb Putra Jamalullail.
Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan), Datuk Haslina Abdul Hamid.
Pada kali ini, sukan rakyat yang dianjurkan melibatkan acara Pukul Bantal, Panjat Tiang Licin, Buboi (Sirat) Pukat dan Menjala Ikan.
Untuk rekod, jumlah pengunjung program ini pada hari semalam ialah seramai 9,710 orang manakala hari ini pula seramai 11,649 orang. – UTUSAN ONLINE










