KOTA KINABALU 27 Okt. – Ketua PKR Cabang Kimanis, Awang Kamis Awang Ahmad (gambar), 46, dan seorang ahli biasanya ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas dakwaan menyogok sejumlah wang kepada perwakilan untuk mempertahankan jawatannya dalam pemilihan parti itu minggu depan.
Menurut sumber, Awang Kamis bersama seorang lagi suspek yang berumur 47 tahun ditahan di sebuah lokasi di pekan Kimanis pada pukul 8.40 malam tadi bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 16(B)(a) Akta SPRM 2009.

“Suspek pertama dipercayai memberi rasuah kepada ahli parti untuk mendapatkan sokongan dalam pemilihan itu dan mempertahankan jawatannya.
“Siasatan masih dijalankan untuk mengetahui jumlah wang yang disogok dan berapa ramai penerimanya,” kata sumber kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Sementara itu, Majistret Faliq Agoes telah membenarkan kedua-dua suspek direman selama enam hari bermula hari ini.
Permohonan reman tersebut dibuat pegawai SPRM, Mohd. Faliq Basirudin di Lokap Berpusat Ibu pejabat Polis Kontinjen Sabah pada pukul 11.15 pagi ini.










